Ahad, 14 Mac 2010

Sang Pencari Kebenaran~


Bismillahirahmnirrahim

salam.

Aku seorang yang beragama Majusi dari ahli Asbahan. Aku pernah bertanya kepada orang Nasrani tentang asal agama mereka ketika mana aku merasa kagum dengan urusan dan solat mereka. Mereka berkata : Dari Sham.

Maka aku pun bertolak ke Sham.

Disana, aku tinggal bersama seorang paderi. Aku memberi khidmat , solat, dan belajar di situ. Paderi tersebut adalah seorang lelaki yang buruk akhlaknya.

Setelah paderi tersebut mati, datang seorang paderi yang lebih baik daripada paderi yang dulu. Walaubagaimanapun, sebelum dia mati aku telah berkata kepadanya : kepada siapa engkau ingin mewasiatkan aku? Dia berkata: Wahai anakku, aku tidak mengenali seorang manusia yang sepertiku kecuali seorang lelaki di Mausil (nama negeri di iraq).
Setelah kematiannya, aku segera pergi kepada orang yang berada di Mausil tersebut. Aku tinggal bersamanya. Apabila dia ingin mati, aku bertanya (soalan yang sama yang ditujukan kepada paderi sebelum ini). Maka dia telah menunjukkan seorang lelaki yang tinggal di 'Ammuriyah (kawasan yang berhampiran dengan palestin).


Aku pun bermusafir ke tempat yang disebutkan. Aku tinggal bersamanya, dan ketika kematiannya aku bertanya lagi dan dia telah berkata kepadaku : "Wahai anakku, tidaklah aku kenali seseorang seperti kita untuk aku arahkan engkau supaya pergi kepadanya, tetapi, di zaman ini, ada seorang nabi yang diutuskan dengan agama nabi Ibrahim, baginda berhijrah ke bumi yang mempunyai pokok kurma yang terletak di antara dua bukit. Maka, pergilah kepadanya jika engkau mampu. Padanya ada beberapa tanda yang tidak dapat disembunyikan : Baginda tidak makan sedeqah, tetapi menerima hadiah, dan diantara dua bahunya ada cop kenabian. Jika engkau melihatnya, pasti kau akan mengenalinya."

Aku pun berjalan dengan sekumpulan penunggang, dan aku berjalan dengan mereka sehingga sampai di wadi qura. Namun, mereka menzalimi aku, dan menjual aku kepada seorang pemuda yahudi, dan dia pula telah menjual aku kepada seorang pemuda yahudi dari bani quraizah. Aku berjalan dengan pemuda tersebut sehingga sampai di Madinah. Demi Allah, ketika aku melihatnya, aku yakin bahawa inilah negeri yang disifatkan kepadaku. Kemudian, aku bekerja sebagai seorang pemetik kurma.


Di suatu hari, ketika aku sedang berada di atas pokok kurma dan tuanku berada di bawah pokok itu. Tiba-tiba, datang seorang lelaki yahudi bercerita (kepada tuanku) : kaum Aus dan Khazraj telah berkerumun kepada seorang lelaki di Quba' yang datang dari Mekah dan mengaku bahawa dirinya nabi.


Demi Allah, aku menggeletar mendengar kata-katanya sehingga pokok kurma itu bergoyang dan aku hampir jatuh menghempap tuanku. Kemudian aku turun dengan cepat. Aku berkata : Apa yang engkau katakan?..Tuanku terus mengangkat tangannya dan memukulku. Kemudian (tuan) berkata: Kembalilah kepada pekerjaan engkau.


Apabila tiba waktu petang, aku menguruskan diri dan keluar untuk bertemu dengan Rasulullah. Aku pun masuk ke Quba' dan terdapat disitu Rasulullah dan sahabatnya. Aku berkata kepada mereka : sesungguhnya kalian ini orang-orang yang memerlukan dan orang asing, aku mempunyai makanan dan aku ingin meniatkannya untuk disedeqahkan. Apabila aku melihat kamu semua, aku merasakan yang kamu berhak untuknya.

Setelah itu, berkata nabi kepada sahabatnya : Makanlah dengan nama Allah..tetapi nabi tidak mengambil makanan tersebut apatah lagi menjamahnya. Dengan yakinnya, aku berkata dalam hati bahawa ini adalah bukti yang pertama..sesungguhnya baginda tidak memakan sedeqah..

Di waktu yang lain pula, aku datang lagi kepada Rasul dan membawa makanan, dan aku berkata kepada nabi : Sesungguhnya aku melihatmu tidak menerima sedeqah, tetapi hari ini aku mempunyai sesuatu yang aku suka untuk ku berikan kepadamu sebagai hadiah.
Maka, berkatalah nabi kepada sahabatnya : Makanlah dengan nama Allah..dan baginda turut sama makan bersama sahabat-sahabatnya.."Ini adalah bukti yang kedua"..Aku berkata pada diriku. Sesungguhnya baginda menerima hadiah.

Setelah berlalunya beberapa waktu, aku mendatangi baginda lagi dan aku mendapati baginda berada di baqi' sedang mengikuti jenazah, dan disekelilingnya sahabat-sahabatnya. Aku segera memberi salam kepadanya dan memalingkan badan untuk melihat belakang badannya. Baginda mengetahui apa yang aku inginkan maka, baginda mengangkat bajunya sehingga aku dapat melihat tanda di antara dua bahunya..TANDA KENABIAN..


Aku terus mendakap dan mencium baginda serta menangis. Baginda mengajakku dan aku duduk menghadapnya dan berbicara dengannya sebagaimana aku dihadapan kalian sekarang..

~Beliau adalah Salman Al-Farisi..Setia mencari kebenaran sehinggalah bertemu dengan kebenaran yang hakiki. Begitulah sifat yang harus dimiliki. Sentiasa tidak berputus asa dalam apa yang kita lakukan. Lebih-lebih lagi apabila nikmat iman dan islam itu, sudah kita miliki. Gunakanlah ia dengan sebaiknya. Mereka yang tidak dikurniakan nikmat ini, mencari dengan penuh susah payah, tapi kita, dilahirkan dan dikurniakan dengan mudah.

Bersama kita merealisasikan ma'ani dari surah Al-Baqarah yang menyebut : "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya mereka ba gi kamu musuh yang nyata.."



Sesungguhnya Allah yang mengetahui yang paling tepat>_<



Rabu, 10 Mac 2010

Qaddarallahu ma sya'a fa'ala

Segala yang ditaqdirkan itulah yang dikehendaki oleh Allah untuk berlaku. Tiada siapa yang dapat menghalangnya. Segala yang berlaku dilangit dan di bumi adalah di bawah kekuasaan Allah. Jika Allah tidak menghendaki, maka sudah pasti ianya tidak akan berlaku.
Allah telah berfirman :

إِنَّ اللَّه عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

maksudnya : Sesungguhnya Allah berkuasa atas setiap sesuatu.

Allah berfirman lagi :

وَاللهُ يَهْدِيْ مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيْمٍ

maksudnya : Dan Allah memberi petunjuk pada siapa yang dikehendaki ke jalan yang lurus.

Walau apa sekalipun yang berlaku dalam kehidupan kita, janganlah cepat mengalah dan berputus asa. Sesungguhnya tidak ada yang berputus asa melainkan kaum yang zalim. Itu kata Allah. Sentiasalah sabar dan terus kuatkan diri untuk menghadapi hari-hari mendatang. Walau sebesar mana ujian yang melanda, sesungguhnya disitu terdapat hikmah yang besar untuk kita.

Bersyukurlah atas nikmat yang dikurniakan, lebih-lebih lagi nikmat iman dan islam. Sesungguhnya kita termasuk didalam orang-orang yang terpilih untuk mendapat hidayahNya. Sentiasalah berdoa agar ditetapkan di jalan iman sehingga ke akhirnya dan mendapat husnul khotimah.

Saya berpesan untuk diri saya dan anda.
فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنْتَ مُذَكِّرٌ

Maka berilah peringatan, karena sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.

Tugas manusia hanya menyampaikan peringatan. Yang memberi petunjuk hanya Allah. Moga Allah mengampuni dosa kita semua dan melepaskan kita dari hisabNya agar terus dapat menuju jannahNya.

Dan Allah lebih mengetahui segalanya.~


Perginya seorang ulama'



Selepas beberapa kontroversi yang digembar gemburkan oleh pihak media dan seluruh dunia, akhirnya kita dikejutkan dengan berita pulangnya syeikhul Azhar iaitu syeikh Muhammad sayyid at-Tantanwi ke rahmatullah. Terasa sayu apabila mengenangkan perginya seorang demi seorang ulama' dari muka bumi ini. Walaupun syeikh Tantawi pernah mengeluarkan beberapa kenyataan yg menjadi buah mulut orang ramai, namun biarlah ianya menjadi urusan mereka yg lebih layak daripada kita hanya sibuk memperkatakan sesuatu yang tidak kita ketahui.

Syeikh Tantawi atau nama sebenarnya Muhammad Sayyid at-Tantawi meninggal dunia di Riyadh, Arab Saudi, dalam perjalanan pulang ke Kaherah selepas memenuhi menghadiri majlis penganugerahan Raja Faisal di sana.Beliau adalah salah seorang penerima anugerah tersebut atas jasa beliau kepada Islam. Beliau dikatakan diserang sakit jantung secara tiba-tiba dan dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia disana. Syeikh Tantawi telah menderita penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan jantung pada tahun 2006.

Kisah kehebatan syeikh Tantawi boleh dijadikan garis pandu untuk kita lebih-lebih lagi sebagai pelajar.

Beliau pernah menghafal al-Quran di waktu mudanya dan sangat berjaya di dalam pelajarannya.
Beliau telah dianugerahkan gelaran doktor falsafah dengan pangkat MUMTAZ dalam bidang usuluddin Ulum Hadith dan Tafsir pada tahun 1966. Beliau merupakan salah seorang di kalangan ulama terbilang di Al-Azhar yg mahir dalam bidang Tafsir dan mempunyai karya-karya penulisan yg bermutu.
Antara karya-karyanya ialah: Bani Israel fi Al-Quran wa As-Sunnah (1969), At-Tafsir Al-Wasit li Al-Quran Al-Karim (1972), Al-Qissah fi Al-Quran Al-Karim (1990), Muamalat Al-Bunuk wa Ahkamuha As-Syar'iyyah (1991)

Moga roh beliau ditempatkan bersama para solihin dan syuhada'. Moga segala amalan beliau diterima oleh Allah dan menadapat balasan yang sebaiknya.