Ahad, 20 Disember 2009

~ "HAPPY NEW YEAR" ~

Rasanya masih belum terlambat untuk ana ucapkan Selamat tahun Baru untuk semua muslimin muslimat yang berada di muka bumi ni. Beberapa hari yang lepas kita dah masuk tahun baru 1 muharram 1431H. Tanpa kita sedar dah 1400 thn lebih Rasulullah tinggalkan kita. Rasa rindu yang teramat pada baginda lagi2 bila dengar kisah riwayat hidup baginda. Air mata rasa nak menitis. Betapa sayangnya Rasulullah pada kita..Ummat akhir zaman..

video


Bersempena dengan bulan Muharram ni, marilah sama2 kita tajdidkan niat dan azam kita supaya kehidupan pada tahun yang baru ini lebih tersusun dan sistematik. Dengan adanya target yang hendak dicapai, maka kehidupan akan lebih terfocus. Disamping itu, sama2lah kita muhasabah semula adakah segala azam dan cita2 kita pada tahun yang lepas sudah tercapai ataupun masih tertunggak dan perlu dibawa ke tahun ini..

Disini, ana ada sertakan amalan2 yang digalakkan di bulan yang mulia ini. Semoga dengan amalan sunnah yang kita lakukan ini akan menambahkan berat mizan kita di akhirat kelak..

Puasa hari A’syura:

1- Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: ((Apakah ini?)). Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: ((Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu)), maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari )

2- A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah saw telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)“. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

3- Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah saw juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: ((Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura.

Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah diantara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (w 852) dan al-Imam Muslim (w 676) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura‘ 4/245).

Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura

Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah saw bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Diantaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda saw menjawab: ((Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu)). (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).
Di dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah saw begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah saw berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan di atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)

Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharam)

Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

1- Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah saw bersabda lagi: ((Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9)). Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah saw wafat terlebih dahulu.”. (Riwayat Imam Muslim)

2- Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9)). (Riwayat Muslim).Imam al-Nawawi (w 676) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi saw berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10“. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, (Beirut: Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254) .

Justeru, marilah kita merebut peluang di kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah saw seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat diwaktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram)).(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).

Dipetik dari blog : http://akob73.blogspot.com/2008/12/muharam-elakkan-kepercayaan-karut.html

Wallahul musta'an..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan